10 Kesilapan Mudah Resume Yang Ramai Pencari Kerja Lakukan

10 Kesilapan Mudah Resume Yang Ramai Pencari Kerja Lakukan

Pencari kerja mungkin tertanya-tanya kepada diri mereka “Kenapa aku tidak dipanggil menghadiri temuduga?” atau “Adakah aku tidak layak dengan jawatan tersebut?’. Soalan seperti ini pasti berlegar di dalam kepala mereka. Sungguhpun begitu, ramai pencari kerja yang tidak menyedari bahawa mereka telah melakukan kesilapan mudah dalam resume yang dihantar kepada syarikat yang mempunyai kekosongan jawatan.

Kesilapan-kesilapan ini menyebabkan resume anda mungkin ditolak oleh syarikat tersebut.

Adakah anda mengetahui kesilapan-kesilapan mudah yang pencari kerja lakukan dalam resume mereka?

Ikuti perkongsian ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai 10 kesilapan mudah yang pencari kerja lakukan.

10 KESILAPAN MUDAH RESUME YANG RAMAI TIDAK TAHU

Berikut dikongsikan kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan oleh pencari kerja dalam resume mereka dan menyebabkan mereka tidak dipanggil temuduga.

1.  Terlalu Panjang & Terlalu Pendek

Untuk makluman anda, resume merupakan dokumen pertama yang dilihat oleh majikan. Resume anda hendaklah tidak terlalu panjang sehingga mempunyai banyak muka surat. Panjang resume 1 muka surat sudah mencukupi tetapi maklumat anda dalam resume tersebut mestilah padat dengan isi kandungan mengenai anda. Pastikan juga resume yang dibuat tidak terlalu pendek sehingga menyebabkan bakal majikan tidak memahami perkara yang cuba disampaikan mengenai diri anda.

2. Kesalahan Ejaan dan Tatabahasa

Pencari kerja perlulah membuat semakan resume anda terlebih dahulu. Hal ini kerana kesalahan seperti ejaan, tatabahasa dan tanda baca juga diltitikberatkan oleh bakal majikan anda. Sekiranya anda membuat terlalu banyak kesalahan tersebut dan bakal majikan menyedari kesilapan tersebut, bakal majikan pasti berfikir bahawa anda seorang yang tidak teliti dan cuai. Maka, peluang anda untuk dipanggil menghadiri temuduga juga terpaksa dilupakan.

3. Tidak Melampirkan Dokumen Penting

Bagi jawatan-jawatan yang besar dan mempunyai kepentingan kepada syarikat, permohonannya pasti memerlukan dokumen-dokumen sokongan yang akan membantu pencari kerja mendapatkan jawatan tersebut. Pihak pengurusan atau bahagian sumber manusia pasti mahu melihat dokumen tersebut sebagai bukti bahawa anda layak untuk menyandang jawatan yang ditawarkan. Antara dokumen yang boleh dilampirkan adalah seperti transkrip peperiksaan dan sijil pencapaian anda.

4. Penggunaan Warna Yang Terlalu Banyak

Resume yang tidak konvensional seperti penggunaan kertas yang berwarna-warni, wangi, atau yang mempunyai banyak jenis tulisan yang berbeza untuk menjadikannya lebih menarik dan menonjol mungkin tidak akan dilihat oleh majikan. Majikan mungkin berfikir bahawa anda seorang yang tidak matang dan tidak serius dalam memohon pekerja kerana menghantar dokumen sedemikian. Majikan akan mengetahui taktik anda dan seterusnya menggagalkan anda daripada mendapat pekerjaan.

5. Penggunaan Emel Tidak Profesional

Anda mungkin mempunyai emel yang digunakan sejak bangku sekolah lagi. Untuk makluman anda, emel seperti [email protected] dan [email protected] adalah tidak relevan dan tidak sesuai digunakan untuk memohon pekerjaan. Emel seperti menunjukkan anda sorang yang kurang serius dan matang ketika memohon pekerjaan. Anda dinasihatkan untuk membuat yang lebih profesional dengan menggunakan nama anda sendiri. Sebagai contoh [email protected].

6. Tidak Meletakkan Sebarang Rujukan

Bakal majikan yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai diri anda, pasti akan berhubung dengan bekas majikan anda. Rujukan daripada bekas majikan anda mungkin membantu dan membolehkan anda mendapatkan pekerjaan baru yang dimohon. Sebaiknya rujukan yang diletakkan adalah benar dan tidak palsu. Anda mungkin berhadapan dengan masalah sekiranya maklumat yang diberikan adalah tidak benar.

7. Tidak Meletakkan Pengalaman Pekerjaan

Pengalaman bekerja merupakan sesuatu yang sangat penting. Setiap bakal majikan pasti mahukan pekerja yang berpengalaman untuk bekerja di syarikatnya. Pengalaman kerja anda akan membuka peluang yang lebih besar untuk anda mendapat pekerjaan yang diingini. Sebagai contoh, pesaing anda mempunyai kelayakan akedemik yang bagus tetapi tidak mempunyai pengalaman bekerja. Manakala anda, mempunyai kelayakan akedemik yang bagus dan pengalaman bekerja yang banyak. Sudah pasti anda bakal menjadi pilihan majikan.

8. Penggunaan Bahasa Inggeris

Tidak salah sama sekali sekiranya anda mahu menggunakan Bahasa Inggeris di dalam resume anda. Ramai calon yang biasa dan gemar untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam resume. Tetapi penggunaan ayat yang tidak betul dan kesalahan ejaan dalam bahasa Inggeris bole menyebabkan anda gagal dipilih menghadiri temuduga. Gunakanlah penulisan yang baik untuk bahasa yang digunakan dalam resume anda.

9. Memaklumkan Gaji Yang Diingini

Gaji merupakan isu yang sensitif dalam kalangan majikan. Anda tidak perlu meletakkan maklumat gaji yang anda inginkan dalam resume. Maklumat tentang gaji adalah benar-benar tidak perlu dan boleh menghantar mesej yang salah kepada bakal majikan anda. Memaklumkan gaji yang anda inginkan menunjukkan anda seorang yang tidak ikhlas bekerja dan hanya mengejar wang semata-mata.

10. Penggunaan Saiz Tulisan Yang Kecil

Pemilihan gaya tulisan atau Font yang kecil dalam resume boleh menyakitkan mata bakal majikan anda. Mungkin anda berbuat demikian untuk menjimatkan kertas dan ruang untuk menceritakan mengenai diri anda. Anda perlu memastikan maklumat yang kurang penting dan tidak berkaitan tidak dimasukkan kerana ianya hanya akan menggunakan ruang dalam resume anda. Pastikan anda tidak menggunakan font yang kurang dari 10 poin. Bagi jenis tulisan  Times New Roman atau Arial sudah memadai untuk resume anda.

Senarai dia atas merupakan kesilapan mudah yang dilakukan oleh pencari kerja yang telah menyebabkan mereka gagal mendapatkan pekerjaan. Berdasarkan senarai di atas, anda sudah boleh menyemak resume anda sama ada anda melakukan kesilapan di atas ataupun tidak.

Selamat Maju Jaya!

By Azwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *