10 Soalan Anda Boleh Tanya Penemuduga Di Akhir Interview

10 soalan yang boleh ditanya

Sesi temuduga merupakan proses yang perlu anda hadapi untuk mendapatkan pekerjaan. Setiap kali anda menghadiri temuduga, anda perlulah membuat persediaan mengenai soalan-soalan yang akan ditanya samasa interview dijalankan. Sungguhpun begitu, anda juga perlu menyediakan soalan kepada panel penemuduga.

“Ada apa-apa soalan?” soalan ini pasti ditanya oleh penemuduga kepada anda di akhir sesi temuduga. Apakah tindakan yang perlu anda lakukan?

Menggeleng atau bertanyakan soalan?

Sudah pasti anda perlu bertanyakan soalan kepada penemuduga. Namun, apakah soalan yang sesuai dan boleh ditanya kepada penemuduga?

Ikuti perkongsian ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai soalan yang sesuai ditanya kepada penemuduga.

10 SOALAN YANG SESUAI DITANYA KEPADA PENEMUDUGA

Berikut merupakan soalan-soalan yang anda boleh bertanya kepada panel penemuduga:

1. Apakah Kualiti Yang Dicari Oleh Anda Untuk Calon Yang Iayak Memegang Jawatan Ini?

Anda mungkin telah membaca diskripsi tugas sebelum memohon jawatan yang telah ditawarkan. Tetapi apabila, anda bertanyakan soalan ini anda mungkin akan mendapat jawapan yang lebih mendalam dan spesifik mengenai calon yang dicari oleh syarikat tersebut. Anda juga boleh menggunakan jawapan yang diberikan oleh penemuduga sebagai tip untuk digunakan di kemudian hari.

2. Apakah Bidang Kerja Sekiranya Saya Diterima Bekerja?

Penal penemuduga akan menjelaskan bidang kerja(jobscope) anda dengan lebih lanjut. Soalan ini sangat penting untuk diri anda kerana anda perlu tahu tugas-tugas yang akan anda lakukan sekiranya diterima bekerja nanti. Jawapan yang diberikan oleh panel penemuduga akan memberikan ruang kepada anda untuk berfikir sama ada anda layak atau tidak untuk melakukan tugas tersebut.

3. Boleh Jelaskan Kumpulan Yang Saya Akan Bekerja Bersama ?

Soalan ini akan menarik minat penemuga kerana soalan akan membuktikan anda seorang yang boleh bekerja dalam kumpulan. Situasi ini akan menunjukkan anda seorang yang mudah memberi kerjasama dalam tugasan yang diberikan secara berkumpulan. Pekerja yang mudah menyesuaikan diri bersama kumpulan sejawatan merupakan kelebihan yang dicari oleh majikan. Pekerja yang sanggup bekerja dalam kumpulan pasti dapat mencapai matlamat yang diiginkan oleh majikan.

4. Apakah Yang Menarik Minat Tuan Untuk Terus Berkhidmat Di Syarikat Ini?

Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh panel penemuduga nanti, pasti panel tersebut akan menceritakan manfaat atau pun kelebihan bekerja di syarikat tersebut. Anda juga akan mendapat gambaran mengenai persekitaran dan budaya yang anda akan hadapi sekiranya diterima bekerja di syarikat tersebut.

5. Apakah Matlamat Syarikat dalam Sebulan/Setahun/ 5 Tahun Akan Datang?

Soalan ini akan menambah kredit markah anda, kerana anda seorang yang berpandangan jauh dan bijak merancang. Tetapi, anda perlu menunjukkan anda seorang yang komited terhadap tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Penemuduga mungkin akan meletakkan target kepada anda yang perlu anda penuhi sekiranya diterima bekerja.

6. Apakah Cabaran Utama Yang Dihadapi Oleh Syarikat Pada Masa Kini?

Soalan ini dapat membantu anda untuk mengetahui tentang cabaran yang dihadapi oleh syarikat dan industri. Soalan ini akan memberi kelebihan kepada anda untuk menyediakan kemahiran yang diperlukan dan sesuai berkaitan industri tersebut.

7. Apakah Penanda Aras Yang Diletakkan Untuk Mendapatkan Jawatan Ini?

Soalan ini sesuai ditanya kerana anda akan menunjukkan anda seorang yang mementingkan keputusan. Soalan ini membuktikan anda sentiasa bersedia dan berminat untuk mendapatkan jawatan yang ditawarkan.

8. Adakah Tuan Ragu-Ragu Untuk Mengambil Saya Bekerja?

Anda boleh melihat reaksi daripada panel penemuduga sama ada anda benar-banar layak mendapatkan jawatan tersebut ataupun tidak. Soalan ini akan menambah keyakinan diri anda supaya anda dapat memperbaiki kelemahan diri anda pada masa akan datang setelah mendapat pandangan daripada panel penemuduga.

9. Adakah Syarikat Menyediakan Program Latihan Untuk Pekerjanya?

Sebagai bakal tenaga pekerja yang akan bekerja dia syarikat tersebut, anda boleh bertanya soalan ini untuk mengetahui sekiranya syarikat tersebut akan menyediakan program latihan. Soalan ini menunjukkkan telah bersedia untuk mengetahui tentang selok belok syarikat.

10. Apakah Langkah Seterusnya Dalam temuduga?

Soalan ini akan menunjukkan anda seorang yang terus maju dan tidak mahu berada di takuk yang lama. Oleh itu, anda ingin mengetahui apakah proses seterunya pada masa akan datang dan ingin mengetahui keputusan temuduga tersebut dengan secepat mungkin.

Soalan-soalan di atas merupakan soalan yang sesuai dan boleh ditanya oleh calon yang akan menghadiri interview. Pastikan anda tidak meninggalkan bilik temuduga tanpa mengutarakan sebarang soalan. Panel penemuduga juga pasti ingin mendengar soalan daripada anda.

Semoga Bermanfaat!

By Azwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *