Senarai Bantuan JKM Dan Kadar Pembayaran Setiap Pemohon Bakal Terima

Senarai Bantuan JKM Dan Kadar Pembayaran Setiap Pemohon Bakal Terima

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan beberapa bantuan kewangan bagi kumpulan sasar yang memerlukan bantuan kewangan supaya golongan yang memerlukan bantauan ini dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.

Skim bantuan yang diwujudkan adalah sebagai alat dalam proses menolong individuyang memerlukan bantuan ke arah pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian, yang merupakan satu kaedah dalam kerja sosial.

Berikut dikongsikan jenis bantuan dan kadar bayaran yang diberikan kepada golongan sasar ini.

OBJEKTIF PEMBERIAN BANTUAN

Antara objektif pemberian bantuan ini adalah untuk:

  • Memenuhi keperluan asas (basic needs) bagi meringankan beban penerima bantuan
  • Alat sokongan sosial (social support tools) untuk menilai kemampuan penerima bantuan ke arah berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan
  • Alat pemulihan (rehabilitation tools) agar penerima bantuan terus kekal tinggal bersama komuniti/masyarakat.
  • Sumber kewangan sementara penerima bantuan meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup

BANTUAN KANAK-KANAK

Bantuan kanak-kanak diberikan adalah untuk membantu keluarga atau penjaga kepada anak atau kanak-kanak atau membantu anak atau kanak-kanak yang tiada atau kehilangan penjaga supaya dapat terus tinggal bersama keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup tanpa menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak mengikut peringkatnya. Selain itu, membantu memelihara dan memperkukuhkan institusi keluarga yang terlibat dalam memberi jagaan sempurna kepada kanak-kanak termasuk kasih sayang dan perhatian.

Kadar Bayaran

Kadar bantuan yang diberikan minimum sebanyak RM100 sebulan seorang dan maksimum sebanyak RM450 seisi rumah melebihi 4 orang kanak- kanak.

Syarat Kelayakan khusus

Berikut adalah syarat kelayakan yang perlu dipenuhi oleh pemohon untuk membuat permohonan:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
  • Keluarga/ penjaga yang memberi jagaan kepada kanak-kanak dan pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
  • Kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun dan yang berumur 18 tahun ke atas boleh dipertimbangkan jika bersekolah sehingga tamat menengah atas; ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (KPKM).

BANTUAN ANAK PELIHARA

Bantuan kanak-kanak ini diberikan bertujuan membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik, yatim atau yatim piatu, tidak mempunyai saudara-mara supaya terus tinggal di dalam masyarakat bersama-sama dengan keluarga pelihara. Serta untuk meringankan tanggungan keluarga pelihara yang sanggup menjaga anak-anak pelihara seperti anak sendiri.

Kadar Bayaran

Kadar bayaran bagi bantuan ini adalah sebanyak RM250 sebulan seorang kanak-kanak.  Maksimum RM500 sebulan sekeluarga yang memelihara 2 orang kanak-kanak atau lebih.

Syarat kelayakan Khusus

Berikut adalah syarat kelayakan yang perlu dipenuhi oleh keluarga yang sedang memberi jagaan kepada anak/kanak-kanak  :

  • Kanak-kanak berumur bawah 18 tahun;
  • Kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu bapa;
  • Kanak-kanak bukan diambil sebagai anak angkat menerusi Akta Pengangkatan 1952 atau Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952; atau
  • Kanak-kanak tinggal bersama dengan keluarga pelihara melalui:-
    1. Kanak-kanak yang diambil dari “Program Anak Pelihara” yang dikendalikan oleh JKM; atau
    2. Kanak-kanak yang dipelihara di bawah perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

BANTUAN ORANG TUA

Bantuan ini diberikan kepada warga emas untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.

Kadar Bayaran

Kadar bayaran bagi bantuan ini adalah sebanyak RM350 sebulan seorang.

Syarat Kelayakan Khusus

Berikut adalah syarat kelayakan yang perlu dipenuhi oleh pemohon untuk membuat permohonan:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
  • Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas;
  • Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata  Miskin Per Kapita Semasa; dan
  • Warga emas yang bukan tinggal  di:
    i.  institusi kendalian JKM; atau
    ii. pusat jagaan harian/ berkediaman yang memberi kemudahan/ perkhidmatan secara    percuma; ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

ELAUN PEKERJA CACAT

Insentif ini diberikan untuk menggalakkan OKU terus bekerja, serta mampu hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.

Kadar Bayaran

Kadar bayaran bagi bantuan ini adalah sebanyak RM400 sebulan seorang.

Syarat Kelayakan Khusus

Berikit adalah syarat kelayakan khusus yang perlu dipenuhi oleh pemohon untuk membuat permohonan:

  • Warganegara, bermastautin dan bekerja di Malaysia;
  • Berumur 16 tahun dan ke atas;
  • Pemegang kad OKU JKM;
  • Pendapatan bulanan RM 1,200.00 dan ke bawah; ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM

BANTUAN AM PERSEKUTUAN

Bantuan ini diberikan adalah untuk membantu menampung perbelanjaan harian klien atau keluarga.

Kadar Bayaran

Kadar bayaran bagi bantuan ini adalah sebanyak RM100 sebulan seorang.  Maksimum RM350 sebulan sekeluarga.

Syarat Kelayakan Khusus

Syarat kelayakan bagi permohonan ini adalah golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah jenis bantuan lain.

BANTUAN AM NEGERI

Bantuan ini diberikan kepada individu atau keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.

Kadar Bayaran

Kadar bayaran bagi bantuan ini adalah sebanyak minimum sebanyak RM100 sebulan seorang dan maksimum sebanyak RM350 sekeluarga.

Syarat Kelayakan

Berikut adalah syarat kelayakan yang perlu dipenuhi bagi pemohon membuat permohonan:

  • Warganegara dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
  • Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan, (PGK) Purata  Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
  • Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain; ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

BANTUAN OKU TIDAK BERUPAYA BEKERJA

Bantuan ini diberikan bertujuan untuk membantu OKU yang tidak berupaya bekerja dan mengggalakkan OKU terus tinggal bersama keluarga.

Kadar Bantuan

Kadar bayaran bagi bantuan ini adalah sebanyak RM250 seorang sebulan.

Syarat Kelayakan Khusus

Berikut adalah syarat kelayakan yang perlu dipenuhi oleh pemohon untuk membuat permohonan:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
  • Berumur 16 tahun dan ke atas;
  • Pemegang Kad OKU JKM;
  • Tidak berupaya bekerja.
  • Pemohon bukan penghuni/ pelatih:
    • Institusi kendalian JKM; atau
    • Pusat jagaan harian/ berkediaman yang menyediakan perkhidmatan/ kemudahan secara percuma; atau
    • Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK);
  • Sumber kewangan bulanan individu OKU tidak melebihi kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Per Kapita Semasa. ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.
    Nota: Sumber kewangan seperti pencen/ perkeso/ bantuan dan lain-lain.

BANTUAN PENJAGAAN OKU TERLANTAR / PESAKIT KRONIK TERLANTAR

Bantuan ini diberikan bertujuan untuk meringankan bebanan keluarga atau penjaga. Menggalakkan keluarga/ penjaga untuk menjaga ahli keluarga yang OKU terlantar,  sakit terlantar dan sakit kronik.

Kadar Bayaran

Kadar bayaran bagi bantuan ini adalah sebanyak RM350 sebulan seorang.

Syarat Kelayakan Khusus

Berikut adalah syarat kelayakan yang perlu dipenuhi oleh pemohon untuk membuat permohonan:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
  • Pemohon adalah penjaga sepenuh masa/ memberikan pejagaan rapi kepada OKU terlantar/ pesakit terlantar/ pesakit kronik yang memerlukan pengawasan dan penjagaan;
  • Pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM3,000; ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

BANTUAN LATIHAN PERANTIS

Bantuan ini bertujuan untuk membantu klien Jabatan atau anak-anak penerima bantuan yang tercicir daripada persekolahan dan menganggur serta bekas pelatih atau bekas penghuni institusi kebajikan untuk mendapatkan latihan kemahiran atau latihan sambil bekerja.

Kadar Bayaran

Kadar bayaran bagi bantuan ini adalah sebanyak RM200 sebulan seorang.

Syarat Kelayakan Khusus

Berikut adalah syarat kelayakan khusus yang perlu dipenuhi oleh pemohon untuk membuat permohonan:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
  • Anak-anak penerima bantuan atau  bekas pelatih/ bekas penghuni dari institusi kebajikan; atau
  • Kes-kes seliaan akhlak; atau
  • Bekas Pelatih Perintah Khidmat Masyarakat; ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.
  • Kelulusan berdasarkan tempoh latihan dan maksimum 24 bulan.

 BANTUAN GERAN PELANCARAN

Tujuan bantuan ini diberikan adalah untuk pemerkasaan ekonomi kumpulan sasar JKM yang produktif, mempunyai minat, kemahiran dan potensi untuk menjana pendapatan individu dan keluarga. Selain itu, mewujudkan program pembangunan dan pengintergrasian bagi membantu klien mencapai matlamat ke arah berdikari.

Kadar Bayaran

Kadar bayaran bagi bantuan ini adalah sebanyak maksimum RM2,700 sekaligus.

Syarat Kelayakan Khusus

Berikut adalah syarat kelayakan khusus bagi pemohon yang ingin membuat permohonan:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
  • Kumpulan sasar JKM;
  • Tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata  Miskin Isi Rumah semasa atau PGK Purata  Miskin Per Kapita Semasa;  ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

BANTUAN ALAT TIRUAN / ALAT SOKONGAN

Bantuan ini diberikan untuk membantu kumpulan sasar JKM yang kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk membeli anggota palsu atau alat sokongan seperti yang disyorkan oleh Pegawai atau Pengamal Perubatan (kerajaan/ swasta) atau Pegawai JKM mengikut jenis ketidakupayaan dan membolehkan kumpulan sasar JKM meningkatkan keupayaan dan mobiliti bagi menjalani kehidupan.

 Kadar Bayaran

Kadar bayaran bagi bantuan adalah mengikut harga sebenar yang telah ditetapkan.

Syarat Kelayakan Khusus

Berikut adalah syarat kelayakan khusus yang perlu dipenuhi oleh pemohon untuk membuat permohonan:

  • Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
  • Kumpulan sasar JKM;
  • Tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata  Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata  Miskin Per Kapita Semasa;
  • Disyorkan oleh pegawai atau pakar perubatan (kerajaan/ swasta)/ Pegawai JKM mengikut jenis ketidakupayaan;   ATAU
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.
  • Sumbangan daripada keluarga membiayai sebahagian dari kos alat tiruan/ alat sokongan adalah digalakkan.

Jenis Peralatan Tiruan Dan Alat Sokongan

Antara jenis peralatan tiruan dan alat sokongan yang disediakan adalah seperti berikut:

  • Anggota Palsu
  • Kerusi Roda
  • Alat Bantu Pendengaran
  • Alat-alat Keperluan Lain
  • Penggantian / Baik Pulih Alat
  • Jenis Peralatan yang berkaitan

TABUNG BANTUAN MANGSA SERANGAN BINATANG BUAS

Bantuan ini diberikan untuk membantu meringankan beban mangsa atau keluarga mangsa serangan binatang buas.

Kadar Bayaran

Kadar bayaran bagi bantuan ini adalah seperti berikut:

  1. Maksimum RM20,000.00 untuk kes kematian atau kehilangan keupayaan kekal.
  2. Bagi kes hilang upaya sebahagian, kadar bantuan ditentukan berdasarkan peratusan kategori kecederaan.

CARA PERMOHONAN

Untuk membuat permohonan bantuan kewangan ini, pemohon boleh mengemukakan permohonan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian di seluruh negara. Pemohon boleh memuat turun borang permohonan di pautan berikut:

BORANG PERMOHONAN BANTUAN

BORANG KEMASKINI MAKLUMAT

Setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.

DOKUMEN YANG DIPERLUKAN

Antara senarai dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan:

  •  salinan Kad Pengenalan diri pemohon,
  • salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama,
  • Salinan Kad OKU/ Slip Pendaftaran Sementara ( bagi pemohon OKU)
  • Salinan sijil kematian/penceraian (jika berkaitan)
  • Pengesahan rawatan dari hospital atau klinik kesihatan kerajaan (jika berkaitan)
  • Penyata pendapatan atau surat pengesahan pendapatan dari majikan/surat akaun pendapatan (jika bekerja sendiri)
  • Laporan diri agensi lain yang berkaitan (AADK/Polis/Penjara) (jika berkaitan)
  • Salah satu salinanbil utiliti seperti air/elektrik/telefon/astro/dll (bagi pengesahan alamat)
  • Kertas cadangan projek dan sebut harga barang (bagi permohonan bantuan geran pelancaran)
  • Pengesahan rawatan/ surat sokongan / syor daripada doktor / pakar perubatan dan sebut harga barang ( bagi permohonan bantuan alat tiruan/ sokongan)

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda untuk membuat permohonan bagi bantuan-bantuan yang disediakan oleh JKM bagi individu yang memerlukan bantuan.

Selamat Maju Jaya!

By Azwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *